Perubahan Lanskap Politik:Kita Bila Lagi? (1)

. Thursday, August 28, 2008
0 comments

Pertamanya, penulis harap dijauhkan segala sentimen politik mahupun pemikiran politikus negara.Sebaliknya penulisan kali ini sekadar berniat untuk menimbulkan buah fikiran kita bersama.Apabila dikatakan politik, satu-satunya medium 'halal' bagi pelajar adalah politik kampus.Perkara ini khususnya boleh terus difokuskan kepada pilihanraya kampus.

Mungkin dalam masa terdekat, barisan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) dibawah pimpinan saudara Naufal akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihanraya kampus Uniten.Maka, seterusnya pemilihan calon baru akan diadakan menerusi sistem demokrasi sedia ada.Mengikut kepada analisa penulis, rantaian pola yang berlaku di Uniten sedikit unik kerana pilihan raya kampus(PRK) diadakan dua tahun sekali.Maksudnya, andai tahun lepas tidak cukup calon untuk diadakan PRK, tahun ini mungkin ada memandangkan rentak sebelum ini yang seakan menjadi adat buat pelajar Uniten.

Risau tidak dapat menjalankan tugas dengan baik, tanggungjawab begitu berat, fokus kepada akademik adalah antara alasan klise yang diluahkan bagi mereka yang keberatan untuk bertanding.Malahan, ditambah dengan 'harga' yang terpaksa dibayar dari aspek masa dan wang ringgit juga diketengahkan.Memang benar, kesukaran untuk mendapatkan seorang pemimpin yang berkaliber tidak dapat dinafikan. Ada kala kelihatan baik, namun rupanya 'musang berbulu ayam'.Disangka berkarisma,rupanya 'mudah ditusuk dibelakang'.

Sememangnya kita sedang ketandusan pemimpin berbakat.Kita tidak memerlukan pemimpin yang pandai berpidato waimah yang bijak berbalah dan bermubahalah,sebaliknya di Uniten ini kita sebenarnya memerlukan pemimpin yang berjiwa pelajar.Anjakan paradigma perlu dilakukan.Sekalipun yang 'menyuap' itu HEP, tapi tidak bermakna MPP perlu menuruti dan bertukar menjadi boneka.Tidak bermakna seorang profesor bijak pandai yang menyuruh bertanding, kita perlu berubah menjadi alat untuk mereka.

Akhirnya, penulis minta agar bangkit pelajar Uniten untuk menyahut seruan perubahan.Biarpun dihimpit dan kian tersepit, tetapi yang penting adalah anda seorang pejuang.Usai satu perjuangan, jasa anda tidak akan dilupakan baik kemenangan yang dikecapi atau kekalahan yang menimpa.Sebaliknya, perjuangan itu akan direkayasa oleh segenap pelajar Uniten dari generasi ke generasi seperti mana Saudara Fairuz, mantan presiden MPP yang terdahulu.Bertemu lagi selepas ini.Salam kemerdekaan.

MKF

Salah PTPTN atau UNITEN?

. Friday, August 22, 2008
3 comments

Baru-baru ini, duit PTPTN baru saja masuk ke dalam akaun setiap pelajar. Tatkala penulis membuat semakan baki, terdapat kekurangan lebih RM300 daripada jumlah yang sepatutnya penulis terima. Pada mulanya, penulis menganggap perkara ini mungkin kesilapan teknikal kecil dan ingin memeriksa dahulu dengan pihak bank.Namun, setelah membaca blog seorang teman yang juga merupakan pelajar Uniten, penulis mula menganggap perkara ini rupanya melibatkan lebih daripada diri penulis sendiri.

Memang penulis faham akan sistem pengurusan kewangan yang terbaru cuba untuk memudahkan pelajar, namun apabila ada masalah sebegini rupa, sebenarnya telah menyusahkan pelajar apatah lagi bagi mereka yang hanya mendapat separuh saja.Sudahlah kemasukan duit lewat hampir 2bulan, ditambah lagi dengan perkara-perkara begini, pasti akan menimbulkan kemarahan di hati setiap pelajar.

Memandangkan perkara ini berlaku, siapakah puncanya agar boleh kita dapatkan penjelasan.Maklumlah, sama ada PTPTN yang lewat menyalurkan wang atau UNITEN yang bermasalah dalam menguruskannya.Dengan 'kehilangan' duit pelajar secara senyap ini, penulis rasakan perlu satu alasan yang kukuh dari pihak yang berkenaan.Jadikan apa yang berlaku pada pelajar Masterskill sebagai satu bentuk amaran kepada pihak pengurusan,baik PTPTN atau UNITEN.Sekian.

MKF

Mungkin Salahnya Pada Kita.

. Friday, August 15, 2008
4 comments

Acap kali ruangan UnitenDaily ini digunakan, sering kali rungutan pelajar menjadi taruhan.Namun, adakah pernah untuk seketika kita melihat kembali kesalahan kita yang menjadi satu tabiat normal di Uniten sebelum kita mengambil tindakan untuk mengkritik atau menyuarakan hak kita sebagai pelajar? Ayuh renungi bersama:

Pemakaian ID
Sehingga kini penulis masih gagal menemui satu alasan konkrit yang boleh diterima berkenaan dengan pemakaian ID pelajar. Alasan biasa, lanyard atau ID terlupa untuk dibawa.Adakah kita ini terdiri daripada pelajar yang sentiasa terlupa atau menghidapi amnesia? Atau mungkin kita lebih bangga meletakkan ID didalam dompet yang diselitkan di poket seluar di bahagian punggung? Atau mungkin juga nilai diri kita terlalu rendah sehingga kita sering duduk diatasnya atau sekadar layak tersimpan didalam beg tangan semata-mata?

Merokok
Paling menarik isu ini adalah melihatkan pelajar merokok di hadapan papan tanda 'Dilarang Merokok' (khususnya di COE).Berkepul-kepul asap keluar seolah-olah tidak mampu membaca atau buat-buat buta terhadap peringatan berkenaan larangan tersebut. Mungkin juga, kalau tak merokok, kehilangan nyawa menjadi alasan. Tanpa segan silu melanggar peraturan.Namun, tatkala hak baru diusik sedikit, melenting tidak terkira.

Pakaian
Seawal minggu orientasi, kita diajar untuk mengenali apakah itu tatacara pemakaian secara formal.Dan semua daripada kita tahu bahawa hari Isnin diwajibkan mengikut kod pemakaian sebegitu.Tetapi, malangnya, ada yang sekadar berselipar dan memakai baju kasual biasa.Atau mungkinkah alasan 'negara kita terlalu hampir dengan garisan khatulistiwa dan kawasan Uniten melalui titik kawasan kering di Malaysia' menjadi taruhan untuk mengelak memakai pakaian formal beserta tali leher?

Mungkin masih terdapat lagi permasalahan yang membelengu kita sebagai pelajar, namun cukup bagi kita berubah sedikit demi sedikit. Bagaimana hendak memperjuangkan sesuatu andai kata diri kita masih terpampang kelemahan yang nyata.Sibuk salahkan MPP, namun diri sendiri tetap enggan berubah.Kadangkala, satu jari menunding ke arah orang lain, selebihnya kembali ke arah diri kita. Mungkin salahnya pada kita.

MKF

Keluar Malam: Simbolik Kejahatan?

. Monday, August 11, 2008
0 comments

Penulisan kali ini adalah sebagai satu bentuk respon balas berkenaan dengan isu keluar malam. Seperti mana yang disebut oleh Khateeb didalam artikelnya 'Perubahan Persekitaran di Uniten', penulis akui ada pro dan kontra didalam isu ini.Tetapi penulis kali ini mengambil pendirian sedikit populis untuk tidak menyokong tindakan menutup pagar masuk setiap kelompok selepas jam 12 malam. Bukan penulis ingin katakan bahawa keluar malam itu baik secara total, tetapi memikirkan mekanisme(menghalang pelajar masuk kelompok) sedia ada itu tidak berkesan dalam membentuk sahsiah pelajar yang baik dan berdikari.

Rakan penulis pernah mengajukan soalan, "adakah sesiapa saja yang keluar malam adalah mereka yang bermasalah?". Memang wujud logiknya apabila difikirkan secara sepintas lalu. Memang sikap para pelajar yang masih 'berdarah muda' tidak akan lari dari elemen pemberontakan.Oleh yang demikian, dalam mengubah seseorang yang bersikap sedemikian rupa memerlukan satu mekanisme yang 'membentuk' bukan 'menghalang'.

Penulis pernah menemui beberapa orang pelajar khususnya wanita yang mengatakan mereka tidak boleh masuk ke kelompok selepas jam 12 malam.Lantas, tindakan yang diambil adalah dengan meneruskan aktiviti 'ronda-ronda' sehingga jam 5 pagi sebelum kembali ke kelompok.Ini adalah antara impak yang berlaku apabila sistem yang ada sekarang dilaksanakan.Bukankah lebih mendedahkan pelajar dengan perkara lebih buruk?

Kalau ditanya kepada pelajar yang keluar malam, majoritinya hanyalah untuk keluar makan, meronda di Putrajaya, dan menonton wayang.Kenapa dipilih waktu malam? Kerana itulah pengalaman yang penulis anggap cukup berharga tatkala berada di Universiti.Anda bukannya robot untuk belajar perkara akademik semata-mata, tetapi anda juga mempelajari satu budaya atau cara bersosial.Ruangan ini saja yang ada untuk anda mempelopori erti 'dunia luar'.

Sememangnya satu kehidupan 'normal' di kampus adalah dari segi aspek sosial dan pergaulan. Disaat ini seharusnya pelajar diberi peluang untuk menentukan keputusan mereka.Cuma perlu diberikan petunjuk sahaja.Disaat ini, yang membezakan pelajar Universiti dengan pelajar sekolah.Elemen 'kedewasaan' dan tanggungjawab itu perlu diterapkan secara tidak lansung.

Secara jujurnya penulis katakan tindakan yang diambil universiti memang berbekalkan satu niat yang baik, namun respon balas dari pelajar perlu juga diambil kira.Pelajar kita tidak lagi jahil mengenainya.Andai perkara itu digunakan dengan baik, baiklah jadinya.Mungkin tindakan seperti sebelum ini(tulis nama di pagar depan), sudah cukup baik tanpa perlu menghalang kemasukan mereka.

MKF

Perubahan persekitaran di Uniten

. Sunday, August 10, 2008
2 comments

Oleh Khateeb

Sejak kebelakangan ini, pelbagai perubahan yang telah berlaku di sekeliling kita khususnya di dalam kampus kita ini, iaitu Uniten Bangi. Dan biasanya perubahan-perubahan yang berlaku sukar untuk diterima oleh orang disekitarnya disebabkan oleh keadaan tersebut menuntut kita semua untuk membiasakannya. Mungkin di sini saya akan nyatakan contoh-contoh perubahan yang telah berlaku dalam kampus Uniten Bangi sejak kebelakangan ini.

Yang pertama, perubahan nama kampus iaitu dari Bangi kepada Putrajaya. Pada hemat asaya adalah lebih sesuai untuk perkataan ‘Bangi’ diteruskan penggunaannya memandangkan Uniten tidak berada dalam kawasan Putrajaya. Mungkin benar jika ada pendapat mengatakan bahawa Uniten terletak bersebelahan dengan putrajaya, tetapi kenyataan ini kurang tepat kerana Uniten sebenarnya terletak di dalam Daerah Sepang. Bukankah Putrajaya merupakan kawasan Wilayah Persekutuan? Kenapa tidak diletakkan sahaja nama ‘Uniten Kampus Sepang’? Saya rasa semua pihak harus memikirkan tentang hal ini.

Yang kedua, perubahan yang berlaku kelompok kediaman lelaki apartment Cendekiawan.Perubahan yang paling menonjol sekali ialah warna cat yang digunakan untuk mengecat semula bangunan kelompok Cendekiawan dan bangunan disekitarnya. Saya berpendapat warna yang digunakan seakan-akan sama dengan warna bangunan apartment staff bertujuan untuk menyeragamkan warna bangunan yang berada dalam uniten. Selain itu, Kelompok Cendekiawan telah kembali kepada keadaan lima tahun yang lepas(saya kurang pasti tarikh yang sebenar), iaitu menyediakan ‘extra bed’ di dalam setiap rumah lalu menjadi jumlah penghuni sebuah rumah daripada empat kepada lima orang. Di sini menunjukkan bahawa kelemahan terletak pada pihak MPPUNITEN kerana lesu dalam memperjuangkan hak kebajikan Mahasiswa Uniten.

Yang ketiga, perubahan nama Multi Purpose Hall(MPH) kepada Dewan Seri Sarjana pada awal bulan Julai lepas. Saya beranggapan bahawa tindakan ini memberi unsur positif iaitu bagi memartabatkan bahasa kebangsaan kita Bahasa Melayu. Akan tetapi dari sudut pandangan yang berbeza, ianya dianggap sebagai tindakan untuk kepentingan diri sendiri bagi pihak tertentu.

Yang terakhir, perubahan drastic dalam penguatkuasaan undang-undang sedia ada seperti menutup pintu masuk kelompok bagi kesemua kelompok termasuk pintu utama Uniten tepat jam 12 malam. Berbeza pula pada kali keadaan ini, saya amat menyokong penuh tindakan yang ambil pihak Uniten kerana ianya mendatang banyak kebaikan jika hendak dibandingkan dengan keburukan. Tindakan ini adalah demi kebaikan Mahasiswa Uniten kerana kebiasaannya mahasiswa gemar untuk keluar dan kemudian balik hingga lewat malam barangkali ke subuh. Ke mana dan apa yang dilakukan oleh Mahasiswa di luar sana itu semua pihak tidak mengetahui. Sebagai seorang yang berada dalam golongan mahasiswa, saya amat mengetahui sedikit sebanyak gejala sosial yang berlaku dalam kalangan mahasiswa. Tidak perlulah saya memberi contoh gejala buruk yang dilakukan oleh mahasiswa Uniten di luar kampus, tetapi cukuplah dengan apa yang biasa berlaku di dalam kampus seperti ‘berdua-duaan di tasik pada waktu malam’ dan melakukan perbuatan di luar fitrah manusia seperti melakukan hubungan haram antara laki-laki dan perempuan di tempat-tempat tertutup.

Sebagai penutup, saya menyokong apa-apa perkara yang mendatangkan kebaikan kepada Mahasiswa tetapi pada mas yang sama juga menentang sebarang tindakan Uniten yang hanya gah pada perancangan tetapi kabur-kabur pada matlamatnya. Secara terus terang saya tidak memahami tentang agenda sebenar yang hendak dibawa oleh pengurusan Uniten kerana adakalanya mereka bertindak betul tetapi selalunya mereka tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya( ataupun zalim). Setiap perkara yang dilakukan oleh mereka hanya Allah jua yang mengetahuinya. Sehebat mana pun perancangan manusia, tidak akan mempu menandingi perancangan Allah. Salah satu daripada 6 golongan manusia yang masuk ke neraka ialah ketua-ketua yang sombong kerana pada hakikatnya orang yang sombong akan merasa diri sendiri hebat. Perasaan ini timbul daripada hati yang gelap dan kotor disebabkan oleh kurangnya penjagaan hubungan spiritual dengan Allah. Yang mana baik datang dari Allah, manakala yang buruk datang dari Allah juga tetapi disandarkan atas kelemahan diri saya sendiri.

Isu Keselamatan: Lebih Sudu Daripada Kuah

.
0 comments

Menerusi pandangan mata kasar penulis, telah dapat penulis perhatikan satu persatu rungutan dari pelajar Uniten sendiri yang mempersoalkan tentang tatacara pegawai keselamatan di Uniten. Sebenarnya penulis baru sedar akan masalah ini apabila dibangkitkan di Mesyuarat Pengerusi Kelab&Persatuan(MPKP) apabila pelajar bertanyakan tentang tindakan keluar selepas jam 12 malam.

Perkara ini dibangkitkan apabila ada pegawai keselamatan yang bertindak di luar bidang kuasanya dengan tidak membenarkan lansung pelajar dari luar untuk masuk ke dalam dan sebaliknya sehingga membuatkan pelajar terpaksa mencari 'tempat berteduh' sehingga jam 5 pagi.(mungkin tatkala ini perkara ini sudah dileraikan).Namun demikian, tindakan sesetengah pegawai keselamatan yang meletakkan tahap mentaliti mereka seolah-olah semua pelajar Uniten tidak beradab atau dalam erti kata lain, 'kurang ajar' adalah amat mendukacitakan penulis.

Memang penulis tidak nafikan terdapat segelintir pelajar yang mungkin kurang adabnya, namun tidak usah dihukum majoriti pelajar lain seolah-olah terlibat sama dengan kesalahan yang dilakukan oleh seorang dua pelajar.Bagi mereka yang menghadiri MPKP pada Jumaat lepas, kata-kata yang dikeluarkan oleh wakil pegawai tertinggi mereka juga telah jelas menunjukkan seolah-olah mereka menyemat satu pemikiran jumud khususnya terhadap pelajar sendiri.

Tidak cukup dengan itu, tindakan saman 'membabi buta' terhadap pemilik kereta yang meletakkan kenderaan mereka bukan di tempat letak kenderaan yang sah diibaratkan sebagai satu tindakan yang amat zalim dilakukan.Bayangkan, dengan tempat yang semakin terhad, pegawai keselamatan tidak lansung memikirkan apa yang perlu ditanggung pada pihak pelajar.Perlu diingatkan, tindakan universiti yang 'merampas' tempat letak kereta(di COE) semata-mata untuk dibiarkan 'kosong untuk tatapan umum' membuatkan pelajar terpaksa meletakkan kereta di sekitar kawasan secara haram. Dengan tindakan rampasan tempat letak kereta dan saman secara melulu ini, penulis anggap pelajar akan makin menderita seiring dengan masa berlalu.

Justeru, penulis secara peribadi menganggap penulisan kali ini bukannya untuk membuakkan rasa benci waimah provokasi kepada pegawai keselamatan swasta kini.Namun, apa yang penulis inginkan adalah tindakan yang diambil itu biarlah lebih berdiplomasi.Memang kedua-dua entiti ini sering memerlukan diantara satu sama lain.Oleh demikian, bagi pelajar dan pegawai keselamatan, hormat-menghormatilah diantara kita bersama dan patuhi undang-undang bersama serta bertanggungjawab dengan tindakan yang diambil.Sekian.

MKF

Demokrasi Disuburkan Di Kampus Kita

. Saturday, August 9, 2008
5 comments

oleh: Panerai

Sudah hampir ke bulan September....ini ialah masa diamana test 1 dan kuiz dilaksanakan oleh lecturer2 kita,mmg tidak disukai langsung. Saya cukup terkejut suasana Test 1 kian menjadi seperti Final Exam,amat menakutkan...(itu padangan peribadi sahaja)

apa yang saya ingin katakan serta menarik pndangan anda...awal september adalah waktu dimana perubahan pucuk pimpinan kelab2 dan persatuan di UNITEN. Saya ingin mengambil contoh kelab PRS kini pertama kalinya menyiarkan senarai calon2 mereka utk tontonan umum.

Saya berbual dengan sekretariat majlis tersebut,jelas beliau ingin mewujudkan budaya baru dalam kelab2 di kampus kita. Saya melihat ini sebagai kebangkitan semangat demokrasi di kampus kita. Saya memuji usaha PRS UNITEN.

Saya menyeru semua rakan2 kita agar mempelajari dan cuba memahami erti demokrasi ini. Saya juga amat berharap semua ahli2 tak kira mana2 kelab juga memahami bahawa kuasa demokrasi yang anda pegang didalam AGM adalah penentu haluan kelab2 anda dimasa depan.... Kuasa AGM lebih besar dari Kuasa PRESIDEN kelab itu sendiri,percayalah

sila ke link ini untuk ke blog AGM PRS UNITEN