AUKU Menyekat Atau Mahasiswa Tersekat?

. Friday, February 29, 2008
7 comments

Sebenarnya penulis tertarik untuk menulis tentang AUKU apabila perkara ini ditimbulkan oleh saudara Najwan Halimi melalui artikel beliau,'Mahasiswa & Blog'.Sebelum ini,memang biasa kedengaran dikalangan mahasiswa/i berkenaan akta yang dikuatkuasakan pada tahun 1971 ini.AUKU atau Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971 ini adalah satu akta yang sering dimanipulasikan sesetengah pihak sehingga mendapat tentangan yang cukup hebat daripada golongan mahasiswa sehingga kini.Ada juga yang tertanya-tanya,adakah Uniten sebagai salah sebuah IPTS turut berada dibawah akta ini.Jawapannya terkandung dibawah Seksyen 5(a) yakni:-

5A1) Peruntukan Akta ini tidak terpakai bagi sesuatu institusi

pelajaran tinggi yang bertaraf Universiti yang dibenarkan

ditubuhkan di bawah suatu perintah yang dibuat oleh Yang di-

Pertuan Agong di bawah subseksyen (2) dan mana-mana institusi

pelajaran tinggi swasta yang diberi taraf Universiti atau Kolej

Universiti di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Jadi,bagi Institut Pengajian Tinggi Swasta telah pun diletakkan dibawah Akta IPTS 1996.Secara ringkasnya,ini adalah pengenalan yang mudah untuk pembaca memahami apakah itu AUKU.(Untuk memahami secara lebih mendalam mengenai AUKU,sila rujuk:http://www.agc.gov.my/agc/oth/Akta/Vol.%201/Akta%2030.pdf ).Namun demikian,apa yang ingin penulis bawakan didalam artikel ini bukanlah semata-mata untuk memberi penerangan mengenai akta ini,sebaliknya ingin pembaca sendiri menganalisa dengan lebih jelas,apakah wajar AUKU ini dimansuhkan atau dikekalkan.

Jika diselidik daripada sejarah,kelahiran AUKU ini adalah berpunca dari tragedi 13 Mei 1969.Akta ini digunakan untuk mengelakkan permasalahan perpaduan berlaku didalam kawasan kampus memandangkan suasana ketika itu cukup tegang diantara kaum.Lantas,perkara ini dimuatkan dalam Seksyen 15(1),(2),(3),dan (4) yakni secara rangkumannya:-

Pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar

dilarang bersekutu dengan persatuan, dsb. kecuali sebagai

mana diperuntukkan di bawah Perlembagaan, atau

diluluskan oleh Naib Canselor.

Disebabkan wujud perkara ini dan diguna pakai sehingga kini,wujud polemik dikalangan mahasiswa/i.Ini disebabkan AUKU ini secara tidak lansung telah pun mengekang mahasiswa/i daripada terlibat dengan politik negara sekaligus menutup ruang kebebasan bersuara mereka.Jika dilihat dari segi aspek perlembagaan juga,akta ini telah pun bercanggah kerana didalam perlembagaan negara; Fasal 2,Perkara 10(Pindaan 1971):

"...tidak boleh menyentuh mengenai hal-hal yang berkaitan dengan Kewarganegaraan,

Bahasa, Kedudukan Istimewa Orang-orang Melayu dan Kedaulatan Raja-raja Melayu.

Walaubagaimanapun rakyat masih lagi diberi kebebasan membicarakan hal-hal lain di negara ini."

Hujah ini memang sering digunakan untuk mempersoalkan mengenai kewajaran AUKU ini.Perkara ini bertambah serius apabila disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa terhadap diri mahasiswa/i sendiri.Namun persoalannya,adakah ini punca kepada kelemahan pergerakan mahasiswa/i kini? atau Akta ini dipersalahkan kerana mengganggu-gugat kepentingan parti-parti politik diluar kampus?

Penulis mengganggap akta ini sebenarnya tidak menghalang mahasiswa/i untuk bersuara, sebaliknya sekadar gimik sesetengah parti politik untuk mendapatkan sokongan pelajar semata-mata.Penulis tidak berkata sekadar diatas angin tetapi penulis ingin pembaca sendiri menilai berdasarkan kepada sejarah perjuangan mahasiswa/i itu sendiri.

Jika disingkap,didalam lipatan sejarah ada menyatakan bahawa kebangkitan sebenar mahasiswa Malaysia sebagai suatu pergerakan sosial adalah bermula pada tahun 1967 menerusi Peristiwa Telok Gong.Sebelum tahun itu(era '50an),sememangnya pergerakan mahasiswa boleh hampir disamakan dengan zaman kini.Ini disebabkan golongan mahasiswa pada era '50an terdiri daripada anak-anak golongan elit dan selesa.Maka,apabila tiba tahun '60 an,lambakan pelajar yang majoritinya bukan dari keluarga yang senang,telah menghidupkan satu arus perubahan sehingga gerakan mahasiswa/i ketika itu diangkat oleh rakyat sebagai pejuang mereka.Pada pilihanraya 1969 juga,mahasiswa terlibat secara aktif.

Namun,selepas AUKU dilaksanakan pada 1971,mahasiswa tidak boleh lagi terlibat dengan mana-mana parti politik waimah melibatkan diri dengan kempen-kempen pilihanraya.Tetapi adakah AUKU ini menghalang mahasiwa/i ketika itu untuk terus bersuara dan berjuang? Jawapannya; Tidak.Malah,era'70an menjadi saksi dan bukti perjuangan mahasiswa semakin berbisa dan dijulang sebagai pemimpin rakyat secara tidak lansung.

Peristiwa Tasik Utara dan Peristiwa Baling pada tahun 1974 menjadi kemuncak kepada pergerakan mahasiswa di Malaysia.Sokongan badan pelajar seperti PMUM dan PMUKM sanggup meredah risiko semata-mata untuk menuntut keadilan rakyat ketika itu.Nama-nama seperti Hishamudin Rais,Anwar Ibrahim dan Syed Hamid Ali adalah antara pemimpin kuat pergerakan mahasiswa ketika itu.Jelas,sejarah menunjukkan,suara mahasiswa tidak terbatas walaupun diikat dengan AUKU.Perjuangan menuntut keadilan bukan kerana politik,tetapi kerana nasib rakyat yang ditindas menjadi teras kepada kebangkitan mahasiswa ketika itu.

Sememangnya AUKU sering diangkat sebagai satu tajuk untuk dipolemikkan oleh mahasiswa.Memang logik persoalan yang ditimbulkan;mengapa mahasiswa tidak dibenarkan menyertai politik.Tetapi bagi diri penulis,persoalan itu perlu dibalas,mengapa seseorang mahasiswa itu tidak menghabiskan dahulu pengajiannya untuk menyertai politik.Rasanya,sehingga kini tidak ada kekangan bagi mahasiswa untuk mengundi mana-mana parti politik secara bebas tanpa paksaan.

Tuntasnya,apa yang perlu dilihat adalah mentaliti mahasiswa sendiri.Kita boleh menuju ke arah perubahan,tetapi biarlah perubahan itu didasari nama 'mahasiswa' bukannya kerana propaganda politik.Maka,pilihan terletak ditangan anda,jika anda anggap AUKU itu menghalang dan menyekat suara serta perjuangan mahasiswa,katakan tidak pada akta ini,tetapi jika anda melihat kepada sejarah dan menganggap AUKU itu tidak merencatkan perjuangan,maka,teruskan perjuangan anda tanpa menyalahkan mana-mana pihak.Mungkin akta ini gila,tetapi boleh jadi kita yang gila kerana menyalahkan akta ini.Adakah AUKU menyekat atau mahasiswa sendiri yang tersekat?

Akhir kata,penulis memetik kata-kata bekas Naib Canselor Universiti Malaya,Datuk Sir Alexander Oppenheim yang membangkitkan semangat pelajar suatu ketika dahulu:

"sekalipun usaha-usaha pelajar patut diberi pujian, saya berharap persatuan pelajar patut memikirkan soal melibatkan gerakannya kepada kebajikan umum yang merangkumi bidang-bidang yang luas".(dipetik daripada idealis-mahasiswa.net)

Selamat Mengundi!

M.K.F

Mainkan Peranan Kita Sebagai Pelajar

. Wednesday, February 27, 2008
3 comments

oleh cakapbelakang

Saya berpeluang berbicara dengan salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Uniten petang tadi sewaktu beliau sedang mengedarkan borang sokongan pelajar bagi menyokong usul MPP untuk di bawa ke mesyuarat bersama dekan. Adapun, beliau menyuarakan rasa kecewa beliau terhadap respon pelajar UNITEN terhadap usaha yang mereka lakukan.

"Bagaimana kami hendak memperjuangkan isu-isu pelajar sekiranya pelajar sendiri tak mahu memperjuangkan hak-hak mereka. Kami sudah menyediakan platform, tetapi para pelajar sendiri tidak mahu menggunakan platform yang kami sediakan. Borang kaji selidik yang kami edarkan tempoh hari, semuanya di isi dengan komen-komen yang baik belaka, seolah-olah seperti tiada masalah yang berlaku, walhal mereka sendiri tidak berpuas hati dengan perkara tersebut"

Saya sebagai rakan berasa simpati dengan beliau. Beliau sendiri turun padang mengedarkan borang tersebut tanpa bantuan sesiapa dan pada masa saya berbicara dengannya, beliau baru sahaja selesai menjamah makanan pertamanya untuk hari tersebut.

"Pelajar kita ni, hanya tahu merungut, kutuk, dan kritik. Tapi bila kami
usulkan sesuatu, mereka tak mahu pula menyokong kami, beritahu aku macam mana
MPP nak berhadapan dengan pihak pengurusan dan juga kolej sekiranya kami sendiri
tiada sokongan padu daripada para pelajar? Ibarat seorang jeneral perang yang
dihantar ke medan peperangan sendirian, pastilah akan kalah"

"Aku sendiri kalau boleh nak berjuang bersama, tapi tolonglah beri kerjasama
pada kami dengan menyokong kami.Ini bila tengok kena tulis nama dan ID, terus
takut. Memanglah! Kalau seorang sahaja yang pergi, pasti habis kena belasah.
Cuba kalau kita semua bersatu dan pergi beramai-ramai bagi menyuarakan
permasalahan kita, takkan lah kalau ada seribu orang pergi, semua seribu kena
belasah. Kalau jadi juga pasti masuk surat khabar. Bukannya kita nak suruh semua
orang bercakap, cuma nak tunjukkan bahawa kita, pelajar semua ambil berat
tentang perkara ini. Kalau semua buat tak kisah, pihak atasan akan ingat MPP
syok sendiri, dan apabila kami gagal, pelajar pula kritik, kutuk. Tapi mereka
sendiri tak sokong apa yang kami buat"


Hingga begitu sekali. Oleh itu saya menyeru rakan-rakan pelajar suapaya menyokong usaha MPPUniten untuk terus memperjuangkan hak-hak kita sebagai pelajar. Kita kritik mereka apabila mereka leka, dan sokong mereka apabila mereka maju ke hadapan. Usah hanya duduk mengharapkan yang mereka boleh menyelesaikan semua perkara. Apabila kita ada sesuatu isu, kita perjuangkan bersama. Biarpun kalah, tetapi kita telah menunjukkan concern kita terhadap isu tersebut, dan pihak pengurusan/kolej harus lebih berhati hati dengan isu-isu melibatkan pelajar.

Ayuh, kotakan kata-kata anda, mari berjuang bersama!

Mahasiswa & Blog

.
9 comments

Oleh Najwan Halimi

Semalam saya diundang untuk bercakap dalam sebuah forum anjuran kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) kampus berkenaan dengan fenomena blog serta kesan dan pengaruhnya terhadap mahasiswa. Antara panel yang bergandingan dengan saya ialah seorang penasihat undang-undang dari CyberSecurity dan seorang pensyarah yang merupakan bekas setiausaha kepada bekas ahli parlimen Baling, Dr. Mashitah Ibrahim.

Saya menyentuh pembabitan awal saya dalam dunia penulisan blog, tanggapan negatif yang cuba dibentuk oleh pemerintah terhadap penulis-penulis blog serta peri pentingnya mahasiswa memanipulasi teknologi siber dalam menjadi arus penggerak masyarakat.

Kupasan saya tentang perlunya mahasiswa bersifat kritis dan radikal dibidas secara sinis oleh sang pensyarah yang masih berhujah tentang perlunya kepatuhan terhadap Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU). Sang pensyarah juga cukup lantang dalam mempertahankan fungsi akhbar sebagai sumber utama informasi dengan menganggap laman-laman blog masih belum boleh menandingi keupayaan media milik pemerintah.

Percubaan beliau untuk melabel mahasiswa yang menyanggah AUKU sebagai mahasiswa pro-pembangkang kelihatan cukup tipikal dengan penghujahan ala Menteri Pengajian Tinggi; jika mahu berpolitik, tunggu habis belajar! Respon saya ringkas: jika dengan menunjukkan sokongan kepada gerakan perubahan itu dianggap sebagai pro-pembangkang, maka bersikap pro-pemerintah juga sewajarnya dilarang!

AUKU ini akta gila. Menghalang seseorang itu daripada bersikap memihak sememangnya suatu pencabulan terhadap fitrah manusiawi. Anehnya, masih ada lagi pensyarah yang berhujah mempertahankan akta gila ini!

Graduan UNITEN Menggugat!

. Sunday, February 24, 2008
11 comments

Oleh Najwan Halimi

Nurul Izzah Anwar sememangnya nama yang tidak harus diperkenalkan lagi dalam arena politik tanah air. Mengenalinya melalui populariti sejurus selepas pemecatan bapanya pada September 1998, Izzah seterusnya mencipta fenomena di kalangan anak muda.

Mendapat jolokan sebagai Puteri Reformasi, Izzah ternyata bukan calang-calang wanita. Biarpun sudah bergelar ibu kepada seorang cahaya mata, Izzah masih lagi aktif bergiat sebagai aktivis politik yang tegar dalam agenda memperjuangkan keadilan rakyat.

Graduan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik ini turut memegang ijazah Sarjana Perhubungan Antarabangsa dari Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat.

Ketika sesi konvokesyen UNITEN beberapa tahun yang lalu, Izzah muncul di kalangan graduan paling cemerlang dengan pencapaian akademik yang sangat membanggakan. Meski pun dihimpit dengan pelbagai tekanan sepanjang pengajiannya, beliau tetap mampu menamatkannya dengan cemerlang.

Buat teman-teman mahasiswa, barangkali Izzah boleh dijadikan inspirasi buat kita semua. Mahasiswa UNITEN sememangnya berbangga dengan Izzah yang kini mengorak langkah dengan mengumumkan kesediaannya untuk mewakili penduduk Lembah Pantai sebagai ahli parlimen mereka yang baru. Selamat berjaya, Izzah!

Kemajuan Uniten:Tahniah!

. Thursday, February 21, 2008
3 comments

Tibanya artikel kali ini,bukan lagi kritikan yang penulis ingin berikan,sebaliknya satu pujian.Mungkin satu perkara diluar tabii' yang pernah dilakukan diri ini kerana belum pernah penulis memberikan pujian terhadap pentadbiran Uniten sepanjang karier penulisan diri ini didalam UnitenDaily.Namun,ini yang perlu dilakukan.Yang indah itu kita war-warkan,yang buruk itu tetap kita khabarkan.

Melihatkan kemajuan dari segi teknologi Wireless di Uniten.Sebelum ini,ramai pelajar Uniten mengeluh kerana tiada perkhidmatan Wireless untuk diri mereka di dalam kampus.Namun kini segalanya sudah berubah.Sekarang perkhidmatan ini semakin meluas di Uniten.Baik di bangunan pengurusan sehingga ke perpustakaan,segalanya sudah tersedia secara percuma.Tahniah dan syabas diucapkan buat warga ITMS yang sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Tidak cukup dengan itu,kini laman web universiti telah pun sentiasa dikemas kini.Bahkan semakin cantik untuk tatapan masyarakat luar.Jika sebelum ini,nampak lesu,kini dengan hanya sekali klik,warna merah membara menggamit mata untuk dinanti tatapannya dan menilai segala perkara yang ada di universiti tercinta kita ini.

Kini,Majlis Perwakilan Pelajar kita juga telah pun menyediakan satu ruangan untuk para pelajar melahirkan segala perkara berkenaan rasa tidak puas hati mereka dengan mudah.Walaupun pelaksanaannya belum lagi dapat dipastikan keberkesanannya,namun mereka telah pun melangkah setapak maju berbanding sebelumnya.

Sememangnya boleh dikatakan kejayaan yang disebutkan penulis ini masih dianggap kecil oleh sesetengah pihak.Namun,apa yang perlu kita lihat,adalah bagaimana kejayaan ini boleh ditingkatkan dan diteruskan.Sama-sama kita memperbaiki diri dan universiti untuk kesejahteraan serta kecemerlangan bersama.

Tulus ikhlas,
MKF

Sembang Siswa : AL-KISAH BLOG DAN ANDA!!!

. Tuesday, February 19, 2008
7 comments

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..

SUKACITA DIMAKLUMKAN BAHAWA PERSATUAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA UNITEN AKAN MENGADAKAN SEMBANG SISWA 1 (SEMSIS 1)

BERIKUT ADALAH BUTIR-BUTIR PROGRAM:

TAJUK : AL-KISAH BLOG DAN ANDA
LOKASI : DEWAN KULIAH, KOLEJ TEKNOLOGI MAKLUMAT
TARIKH : 25 FEBRUARI 2008
MASA : 8.00 P.M - 10.30 P.M
MODERATOR : Mohd Izwan Bin Salih
AHLI PANEL :

Saudara Najwan Halimi (Penulis blog www.riwayathayat.blogspot.com)
Saudara Izwan Iskandar Ishak (Pegawai CyberSecurity Malaysia)
Pensyarah Uniten (dalam perbincangan)


BAHASA PERANTARAAN : BAHASA MALAYSIA

PADA SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENGIKUTI FORUM INI, SILA DAFTARKAN DIRI ANDA DI BOOTH SEMBANG SISWA DI BM DAN COIT. PENYERTAAN ADALAH PERCUMA. PENYERTAAN ADALAH TERBUKA UNTUK SEMUA PELAJAR UNITEN SAMA ADA AHLI PRS ATAU BUKAN AHLI PRS. BOOTH AKAN DIBUKA DARI 18 FEB - 22 FEB.

BAS AKAN DESEDIAKAN PADA 7.00 P.M DIKELOMPOK MASING-MASING.

" WE CARE, WE SHARE"

SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI:
HANIFA - 017-9683304
NUR AZZA - 019-6134735

Uniten:Satu Agenda Politik

. Thursday, February 14, 2008
8 comments

Bahang kian terasa apabila media massa mula mengembar-gemburkan suasana pilihan raya yang semakin hampir dengan kita.Sememangnya sebagai mahasiswa/i,kita dilarang sama sekali untuk menceburi bidang ini memandangkan fokus kita masih lagi kepada pelajaran semata-mata.Namun pada kali ini,penulis ingin mengupas perkara yang sedikit berbeza dan kelihatan ketara dinihari.Penulis ingin membawakan kupasan ke dimensi luaran dari Uniten.Bukan ingin mengkritik secara terbuka,namun perlu untuk 'mereka' dengari jua,agar kita tidak lagi diperalatkan oleh kuasa-kuasa politik diluar sana.

Umum tahu akan pembinaan kampus Muadzam di Pahang boleh dikatakan sebagai satu agenda politik.Maklumlah,apabila bergelar universiti swasta dan membuka secara tiba-tiba kampus cawangan di ceruk sana,pasti menimbulkan persoalan.Jadi apabila diselidik,barulah diketahui akan seseorang yang berkuasa dalam TNB mahupun kabinet telah pun mengarahkan Uniten dibuka dikawasan tempat beliau memerintah.Pada pendapat penulis,sememangnya beliau adalah ahli parlimen yang berdedikasi memperjuangkan nasib rakyat.Namun,kealpaannya melihatkan masalah dalam jangka masa panjang,menjadi satu kebobrokan dan impak negatif kepada semua pihak.

Pembukaan kampus Muadzam adalah satu pecaturan yang salah,apatah lagi menambahkan bebanan kerugian yang hebat kepada UNITEN.Sehinggakan bilangan pelajar yang ingin mendaftar juga merudum dan lari ke IPTS yang unggul seperti MMU.Sememangnya perkara ini disedari oleh semua.Namun mengapa tidak ada yang menentang? Adakah kerana kita terpaksa tunduk kepada mereka yang berkuasa semata-mata?.Lantas,apabila pembukaan cawangan di tengah hutan itu tidak mendatangkan hasil,maka tindakan UNITEN secara hendak tidak hendak adalah dengan mencari alternatif untuk mengurangkan kerugian.

Antara tindakan yang ingin diambil adalah memindahkan pelajar perakaunan tahun akhir ke kampus Putrajaya.Namun,disaat perkara itu ingin dilaksanakan,tentangan dari ahli parlimen berlaku.Ini disebabkan desakan masyarakat desa di Muadzam inginkan kampus disana dikekalkan.Lantas,perkara itu dibatalkan.Tetapi sebenarnya kuasa-kuasa besar ini tidak tahu akan derita yang dialami oleh pelajar Muadzam.Sudahlah kerap kali dipandang serong oleh masyarakat di sana,malah tekanan untuk hidup di ceruk hutan juga menambahkan lagi desakan kepada para pelajar. (Mengapa penduduk Muadzam talam dua muka?!)

Jadi,apa yang perlu dilakukan oleh Uniten untuk hidup dan terus diperhambakan oleh kuasa-kuasa luar ini? >Letakkan bebanan itu pada para pelajar.Naikkan yuran setinggi langit.Tekan pelajar sehabis baik.Maka itu adalah konklusi terbaik untuk ditatapi oleh pelajar Uniten.Sememangnya kita tiada kuasa untuk menentang apabila diri kita dipolitikkan,namun,apa yang termampu adalah terus menegakkan kebenaran dan terus buangkan kebatilan.Usah politikkan intitusi pendidikan kita demi mencapai keuntungan peribadi.

Kurangkan kontroversi,tingkatkan prestasi
MKF

Ayuh, Masa Untuk Perubahan!

.
3 comments


Bahang pilihanraya mulai terasa. Dalam tempoh dua hingga tiga minggu mendatang, negara akan menyaksikan rakyat keluar mengundi bagi memilih wakil-wakil mereka ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Saya kira kita, sebagai golongan mahasiswa juga sewajarnya ikut melibatkan diri dalam kerancakan pilihanraya yang hanya berlaku julung-julung kali ini. Usah dibelenggu resah dek AUKU. Jika akta itu mengekang kita dari berpartisipasi secara langsung, maka gunakanlah saluran yang tidak menyalahinya. Menulislah di blog, laman web, ruangan buletin laman-laman interaksi seperti Friendster, MySpace dan Facebook. Sebarkan emel dan maklumat-maklumat yang tidak mampu dicapai oleh teman-teman yang lain dengan lebih giat lagi. Jika anda berkebolehan mencipta video atau lagu yang mempunyai mesej-mesej ke arah perubahan, maka Youtube boleh diaplikasikan sepenuhnya.

Jika anda tinggal di desa, rajin-rajinlah berkunjung ke rumah jiran-jiran, saudara mara serta teman-teman dengan menyampaikan mesej-mesej serta informasi-informasi yang tidak akan dilaporkan oleh media semasa. Jika anda pelepak setia di Warung Kopi Pak Abu, Restoran Ah Meng, Restoran Syed, kafe Starbucks atau Coffee Bean, maka mulai hari ini topik perbualan dan sembang-sembang anda sewajarnya ditambah sedikit dengan isu-isu politik dan sosial yang melanda negara ini. Bersembang, berdebat dan berbahaslah sambil-sambil anda meneguk teh tarik atau kopi Mocha. Gunakanlah kemudahan Wi-fi yang disediakan di kafe-kafe tersebut dengan menyebarkan informasi kepada teman-teman anda yang lain.

Proses kempen secara senyap dan halus ini seharusnya kita lakukan bermula sekarang. Kita sudah tidak punya banyak masa. Bantulah semampu yang mungkin, bergantung kepada upaya yang kita ada. Yakinlah bahawa apa yang kita lakukan ialah demi merubah negara ini ke arah yang lebih baik; adil, dinamik dan berdaya saing.

Saya ucapkan salam pilihanraya buat semua teman-teman mahasiswa Uniten. Jangan lupa tanggungjawab anda. Masa untuk perubahan bakal tiba. Ayuh, bersama kita gerakkannya!

Perutusan : Selamat Tahun Baru Cina

. Friday, February 8, 2008
0 comments

Mungkin agak terlambat, akan tetapi saya dan juga team Unitendaily.blogspot ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada pembaca-pembaca dan juga keseluruhan warga UNITEN yang berketurunan Cina.

Semoga tahun tikus ini akan membawa lebih banyak tuah dan rezeki yang melimpah kepada semua.


Dikesempatan ini saya juga ingin menjelaskan bahawa segala artikel yang disiarkan di dalam blog ini TIDAK mengandungi perkataan-perkataan yang melampau, kotor, atau dalam bahasa mudahnya, mencarut. Seandainya ada artikel yang diterima pihak kami mengandungi perkataan tersebut, kami akan mengedit perkataan tersebut menjadi perkataan yang lebih elok.

Juga saya menyeru kepada pihak MPP UNITEN, agar menggunakan sepenuhnya kemudahan blog ini untuk berkomunikasi ataupun memperjelaskan sesuatu isu kepada para pelajar. Sesungguhnya tujuan blog ini diadakan adalah sebagai satu medium ataupun saluran komunikasi antara pelajar mengenai isu-isu, mahupun pengumuman dan hebahan dari mana-mana pihak di UNITEN. Ianya tidak lain untuk memudahkan pihak MPP untuk mengetahui isu-isu yang hangat diperkatakan dari pihak pelajar selain daripada input yang diterima daripada website MPP sendiri.

Akhir kata, teruskan menghantar artikel-artikel menarik, baik tentang isu pelajar, hebahan, ataupun artikel-artikel yang dirasakan menarik untuk dikongsi bersama.

Gunakan Blog, Jangan Jadi GoBlok

the moderator