Hanya Kurang Seminggu

. Tuesday, March 25, 2008
6 comments

*pihak Moderator ingin memohon maaf di atas kelewatan meletakkan posting ini berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan sebagai seorang pelajar. Sekali lagi pihak kami memohon maaf*


Disaat pelajar SPM meraikan kejayaan atau menangisi kegagalan,pelajar Uniten masih lagi dalam proses mempersiapakan diri ke medan peperiksaan.Tempohnya tidak lama.Hanya seminggu lebih sahaja lagi.Mungkin masih ramai yang sedang terleka.Mungkin masih ramai bersuka ria.Mungkin masih ramai yang sedang berangan-angan sahaja.

Kehidupan di universiti sememangnya menampakkan identiti seseorang.Ada yang suka menunggu disaat akhir,baru terhegeh-hegeh mencari buku.Ada juga disaat tempoh kritikal ini,baru hendak fotostat nota.Ada juga disaat ini baru hendak berjumpa pensyarah,bukan kerana ingin bertanya,tetapi ingin merayu agar tidak menggagalkan dirinya.

Jarang untuk kita menggamit memori indah ketika mendapat keputusan SPM dahulu.Pastinya keputusan yang cukup menggembirakan.Maklumlah,pelajar Uniten adalah pelajar bijak-bijak orangnya.Namun,sukar untuk kita melihat kebijaksanaan mereka tatkala beranjak ke alam universiti.Mengapa? Adakah kerana apabila pengurusan diri diletakkan pada bahu sendiri membuatkan perkara ini berlaku atau kerana asyik dengan kebebasan yang diterima diri? Cuba untuk seketika,disaat kita berasa malas untuk belajar.Fikirkan kegirangan mendapat keputusan yang cemerlang.Bagi pelajar kejuruteraan,3.5 itu kadangkala dipandang terlalu jauh.Ada yang sampai berkata mustahil.Tetapi dek kerana meletakkan mentaliti ke aras mustahil,akhirnya, yang diimpikan hanyalah atas 2(agar PTPTN tidak ditarik).

Perasaan selesa berada di tahap lingkungan 2 ini membuatkan mereka tidak berusaha dengan lebih baik.Ya,mungkin ada yang berkata mereka sudah melakukan yang terbaik.Memang mereka melakukan yang terbaik,tapi ketika 2 minggu terakhir sebelum peperiksaan akhir.Sememangnya disaat ini,celoteh dan bebelan untuk mengatakan mereka sudah terlambat adalah sudah tidak relevan.Tetapi cara menyelesaikan masalah mereka adalah cara terbaik. Sememangnya ada cara untuk mendapatkan ilmu peperiksaan akhir dalam keadaan yang singkat.Paling utama sekali,dapatkan tips! Ya! memang ini adalah cara paling senang.Tips ini bertujuan memudahkan fokus pelajar terhadap topik-topik tertentu sahaja.Memang diakui bahawa teknik ini sekadar berteraskan kepada peperiksaan semata-mata,namun,perlu juga diingatkan bahawa pemahaman sesetengah topik lebih baik daripada tidak faham lansung.Setuju?(ayat klise untuk belajar disaat akhir).Jadi,berhubunglah dengan rakan-rakan anda selalu agar mengetahui tentang perkara ini.

Keduanya,adalah dengan cara meminta rakan-rakan anda yang bijak pandai untuk mengajar anda.Cara ini cukup berkesan untuk anda memahami sesuatu topik dengan mudah.Namun berhati-hati,anda mungkin diajar dengan ajaran sesat.Oleh itu,pilihlah calon yang benar-benar memahami topik-topik yang anda ingin pelajari agar tidak melakukan kesalahan yang seiring dan sejalan dengan calon yang mengajar anda itu.

Selain itu,sekiranya anda berada dalam keadaan yang sangat terdesak,maka,pilihan akhir adalah dengan menghafal segala benda.Usah memahamkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu formula itu,tetapi terus sahaja hafal.Namun,kekuatan mental adalah perkara paling penting disini.Jadi,sekiranya anda ingin menghafal,jauhkan mata anda dari melihat perkara-perkara 'liar' dan kotor.

Cara yang terakhir adalah apabila anda tidak tahu dan terlalu terdesak.Cara ini dinamakan sebagai matlamat menghalalkan cara atau lebih popular dengan nama 'toyol'..Penulis melarang sama sekali perkara ini diamalkan pembaca.Namun,saban tahun pasti kita mendengar perkara ini berlaku juga.Diingatkan bahawa,cara ini adalah dilarang sama sekali.Walau terdesak macamana pun,pastikan anda tidak melakukan perkara ini.

Tuntasnya,selalu bagi para pelajar merasa gugup dengan situasi peperiksaan.Namun,amalkan cara anda tersendiri untuk mengatasinya.Baca ayat-ayat kursi mahupu Al-Quran(bagi muslim) untuk menenangkan hati yang lara dan jangan meletakkan atau memikirkan lagi kesan atau keputusan anda.Berjuang dahulu baru tahu.Akhir kata,selamat maju jaya!

MKF

Khabar Angin:Ya/Tak?

. Monday, March 10, 2008
7 comments

oleh : MKF

'Khabar angin';dua perkataan yang digabungkan menjadi satu serta cukup sinonim dengan masyarakat kita.Perkataan 'khabar' itu boleh membawa makna berita.Dalam masyarakat kita,khabar juga sering digunakan dalam perbualan.Contohnya,apa 'khabar','khabar' berita dan sebagainya.Angin pula boleh dikonotasikan dalam pelbagai perspektif.Kata orang,pokok tidak akan bergoyang kalau tiada 'angin'nya.Walaupun angin tidak kelihatan melalui mata kasar,tetapi impaknya boleh diterima kepada diri kita.Paling tidak,apabila orang buang angin,pasti menusuk juga bau-bau ke dalam hidung.Jadi,apabila digabungkan,kedua-dua perkataan ini,membawa satu maksud yang boleh diinterpratasi kepada positif mahupun negatif.Tuntasnya,khabar angin ini boleh dianggap sebagai suatu berita yang belum pasti akan kesahihannya,namun bisa meninggalkan impak kepada orang yang menerima atau mendengarnya(seperti mana pengertian maksud 'khabar' dan 'angin').

Baru-baru ini,penulis telah pun menerima beberapa khabar angin yang boleh dikatakan kurang enak bagi sesetengah pihak.Sememangnya penulis jarang menulis sesuatu tanpa berteraskan fakta dari sumber yang autoritatif atau yang boleh dipercayai.Namun,anggaplah artikel kali ini sebagai bekalan untuk kita bersiap-siaga dengan apa jua keadaan yang akan mendatang.
Berkenaan dengan yuran penginapan.Satu isu yang agak sensitif bagi sesetengah pelajar yang menginap didalam kampus.Sebelum ini, kita pernah mendengar akan kejayaan MPP yang terdahulu mempertahankan yuran penginapan dari dinaikkan.Namun,kini yuran penginapan telah pun dinaikkan tetapi dalam masa yang sama,perkhidmatan internet diberikan secara percuma.Satu taktik mendapatkan keuntungan yang menarik oleh pihak universiti.Namun,penulis menganggap,situasi ini boleh dikatakan situasi 'menang-menang' dimana kedua-dua pihak mendapat kelebihan tersendiri.

Tetapi kedengaran baru-baru ini,yuran penginapan akan dinaikkan lagi.Kadar kenaikan masih lagi belum dinyatakan secara jelas.Ada ura-ura bahawa bilik yang dahulunya RM180 akan menjadi RM200.Jika tidak silap penulis,yuran penginapan sebelum ini rendah kerana diberikan diskaun.Maka,sekiranya yuran penginapan dinaikkan lagi,pelajar akan lebih terbeban.Walaupun perkara ini masih lagi belum disahihkan,tetapi biarlah suara kita sudah dahulu menyatakan pendirian,gusar apabila sindrom 'sudah terhantuk baru nak tengadah' terjadi lagi.

Penulis juga ada mendengar khabar angin mengenai target kemasukan pelajar untuk pengambilan Jun nanti adalah sebanyak 2700 orang.Jumlah yang agak tinggi.Tetapi penulis mengambil pendirian untuk tidak mengupas secara mendalam mengenai perkara ini kerana tidak mendapat maklumat yang cukup rapi.Namun,penulis ingin mengajak pelajar Uniten menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan/fasilitator untuk kemasukan Jun ini nanti.
Kesimpulannya,khabar angin mengenai kenaikan yuran ini sememangnya telah lali bagi pelajar Uniten.Namun,terpulang kepada kita,samada untuk menyatakan pendirian kita sebelum 'diserang' atau menunggu 'diserang' baru ingin bertahan.Samada anda ingin percaya atau tidak,terpulang kepada anda kerana kepercayaan anda adalah rahsia anda(pengaruh pilihanraya).

Sekian

Bentuk pemikiran dalam kalangan mahasiswa: Di manakah tahap pemikiran kita??

. Monday, March 3, 2008
1 comments

Oleh Mohammad Khatib

di ekstrak dari laman http://bentara-khateeb.blogspot.com/


Pada 25 Februari 2008 yang lepas, satu program berbentuk diskusi telah berlangsung di dewan kuliah 3,COIT. Program tersebut ialah Sembang Siswa yang bertajuk 'Al-kisah Blog dan Anda' telah dianjurkan oleh PRS UNITEN ( Pembimbing Rakan Sebaya) dengan jayanya. Banyak perkara yang dibincangkan dalam diskusi tersebut bermula dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada isu besar termasuklah isu tentang arahan larangan daripada melayari blog yang dikeluarkan oleh TNC HEPAP UNITEN kepada warga UNITEN. Para panel yang dijemput pada sembang siswa tersebut terdiri daripada tiga orang iaitu En Azizul;pensyarah di IKAL, saudara Najwan Halimi;pelajar semester akhir kejuruteraan mekanikal UNITEN, dan En Izwan Iskandar dari Cyber Securities. Sembang siswa ini dipengerusi oleh moderator, saudara Mohd Izwan Salih ataupun lebih dikenali sebagai 'Roget' yang juga merupakan seorang sahabat saya.

Saudara moderator memulakan diskusi ini dengan mengutarakan persoalan mengenai perbandingan mahasiswa dahulu dan kini dalam menggunakan medium yang berbeza untuk membincangkan serta mengutarakan sesuatu isu kepada khalayak masyarakat kepada En Azizul. Jawapan yang diberikan beliau amat mudah, iaitu mahasiswa dahulu dilahirkan dalam persekitaran yang berbeza dengan mahasiswa kini. Sebagai contoh, generasi kini dilahirkan dalam era ICT dan telah terdedah dengan teknologi ICT sejak dari lahir lagi jika dibandingkan dengan mahasiswa dahulu. Maka tidak hairanlah sekiranya mahasiswa sekarang sudah beralih arah dengan menggunakan internet sebagai medium perantaraan utama dalam kehidupan menggantikan media cetak seperti akhbar dan makalah.

Manakala panel kedua,iaitu saudara Najwan lebih banyak diutarakan persoalan mengenai blog yang berkaitan dengan keperluan mahasiswa itu sendiri terhadap penglibatan mereka dengan masyarakat luar. Seterusnya, Panel ketiga lebih banyak membicarakan tentang undang-undang yang berkaitan dengan ruang cyber khususnya melibatkan undang-undang penggunaan ruang maya ataupun ‘internet’ di Negara kita ini. Setiap panel menyampaikan jawapan masing-masing dengan pendekatan tersendiri dan menonjolkan pendirian mereka dengan menggunakan identity mereka sendiri tanpa terpengaruh dengan mana-mana tokoh individu di Malaysia mahupun di luar Negara.

Namun begitu, saya tidak berminat untuk mengulas tentang apa yang telah dibincangkan dalam sembang siswa tersebut. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah mengenai cara berfikir dalam kalangan kita sendiri,iaitu golongan mahasiswa. Apa yang dinyatakan di atas hanyalah sekadar pengenalan kepada perkara yang ingin saya fokuskan dalam tulisan saya pada kali ini. Mungkin pengenalan tersebut tidak mempunyai perkaitan terus terhadap isu cara berfikir mahasiswa, akan tetapi ia mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan tajuk yang akan saya bawa ini.

Adakah kita sebagai pelajar universiti atau lebih masyhur lagi dengan panggilan ‘mahasiswa’ menyedari tentang tahap kesedaran diri sendiri dan di manakah kedudukan sebenar pemikiran kita berada pada masa sekarang? Sudah semestinya setiap orang tidak akan tahu kedudukan diri mereka masing-masing melainkan mereka merupakan orang yang telah melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan onak duri. Kebiasaannya, orang di sekeliling kita akan lebih perasan dengan cara kita bertindak, cara kita berfikir mahupun lain-lain perkara yang melibatkan diri kita walaupun tidak semua perkara penilaian yang dibuat mereka adalah tepat.

Di sini merupakan antara contoh-contoh pemikiran yang dimiliki manusia khususnya warga di UNITEN. Pertama, rata-rata pelajar yang baru memasuki UNITEN akan berfikir bahawa tujuan mereka berada di Universiti hanyalah untuk belajar rajin-rajin sehinggalah mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini merupakan satu kebiasaan bagi pelajar pada peringkat awal di Universiti dan saya juga pernah merasainya. Umumnya, perkara ini berlaku disebabkan mereka beranggapan bahawa persekitaran di universiti adalah sama seperti sewaktu di alam persekolahan.

Kedua, terdapat sebilangan pelajar yang tidak mengambil kisah tentang akademik mereka walaupun mereka sedar akan kepentingan untuk tuntutan untuk mendapatkan ilmu. Sebagai contoh berlaku kes pelajar kerap ponteng kelas, tidak bersedia menghadapi peperiksaan, tidak menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah dalam setiap subjek dan kurang berusaha untuk mengulangkaji pelajaran di luar waktu kelas seterusnya meningkatkan kefahaman pembelajaran secara total. Apa yang penting bagi golongan ini ialah keseronokan jangka masa pendek. Tidak kira apa jua jenis keseronokan yang mereka pilih, asalkan ia dapat memuaskan nafsu dan hati mereka. Lama kelamaan mereka akan terus hanyut hingga gagal untuk bangkit dari kejatuhan diri mereka sendiri. Golongan ini lebih memikirkan tentang diri sendiri yang banyak dipandukan oleh hati bertunggangan nafsu. Peranan akal dalam keadaan ini amat sedikit sekali.

Ketiga ialah golongan yang prihatin terhadap persekitaran mereka terutama sekali perkara yang berlaku di UNITEN tidak kiralah sama ada mereka aktif ataupun tidak. Kebiasaannya mereka ini pernah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di UNITEN sama ada oleh pihak universiti mahupun kelab-kelab di UNITEN. Golongan ini merupakan golongan yang banyak menyokong aktiviti-aktiviti pelajar UNITEN dan menentukan kejayaan sesuatu program yang dijalankan. Saya boleh katakan bahawa golongan ini adalah kelompok dominan dalam mana-mana universiti. Daripada golongan ini, terdapat banyak pecahan bentuk pemikiran yang boleh dibahagikan. Antaranya mereka amat gemar membincangkan sesuatu perkara mengikut pandangan mereka sendiri. Mereka begitu berpegang teguh dengan pendapat sendiri tanpa memikirkan pendapat orang lain. Terdapat juga pelajar yang mempunyai pemikiran ‘follow the leader’,apa sahaja yang ketua mereka buat akan diikuti seratus peratus tanpa mengkaji terlebih dahulu. Golongan ini dinamakan sebagai ‘fanatik’ atau taksub terhadap kepimpinan mereka tanpa mengira baik atau buruk. Selain itu, ada juga golongan pelajar yang berpendirian seperti lalang. Jika mereka diajak mengikuti sesuatu program, mereka akan pergi tetapi tiada output yang dihasilkan daripada diri mereka sendiri. Maksudnya ialah mereka hanya menerima segala ilmu dan pengalaman semasa mengikuti sebarang aktiviti, tetapi selepas itu tiada perubahan yang berlaku pada mereka. Manfaat yang diperolehi tidak disumbangkan semula kepada orang lain. Mereka hanya mengikut keadaan semasa, sebarang pendirian dibuat bergantung kepada pendirian orang lain. Apa pun, ini hanyalah sebahagian sahaja daripada cara pemikiran golongan ini. Ada banyak lagi contoh-contoh pemikiran yang lain tetapi tidak dinyatakan.

Terakhir sekali ialah golongan yang merupakan minoriti dalam kalangan pelajar universiti iaitu pelajar yang berfikiran jauh lebih ke hadapan berbanding lain-lain golongan pelajar termasuklah golongan pelajar yang telah dinyatakan di atas. Golongan ini selalunya merupakan orang yang menjadi pemimpin dalam sesuatu organisasi. Segala perancangan jangka masa sederhana dan jangka masa panjang kelab bergantung penuh kepada kepimpinan mereka yang dipandukan kepada visi dan misi yang ditetapkan dalam piagam kelab masing-masing. Walaupun bilangan mereka adalah sedikit, tetapi pengaruh mereka amat besar terutama sekali kepada pelajar, aktiviti pelajar dan kelancaran perjalanan sesuatu kelab serta jatuh bangun sesuatu universiti. Akan tetapi golongan ini tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana mereka pun manusia biasa.

Setelah dinyatakan contoh-contoh pemikiran yang dimiliki oleh sebahagian para pelajar, apakah rumusan yang boleh kita buat? Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan sama tetapi memiliki kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Maka tidak adil bagi kita untuk mengadili seseorang hanya disebabkan mereka tidak serupa dengan kita kerana masing-masing mempunyai corak tersendiri. Ada yang berfikiran jauh kehadapan, ada juga yang berfikiran secara sederhana. Tidak kurang juga terdapat individu yang mengamalkan gaya pemikiran yang agak radikal. Walau bagaimanapun, perbezaan bentuk pemikiran dalam setiap golongan ini boleh disatukan melalui satu organisasi yang mempunyai matlamat tertentu, iaitu dengan kewujudan kelab. Matlamat tersebut tidak bersifat individu, tetapi ianya bersifat universal dan boleh diterima oleh semua ahli-ahli dalam sesuatu organisasi. Semua golongan dalam organisasi ini akan bersama-sama menggerakkan kumpulan mereka untuk mencapai visi,misi dan matlamat yang telah mereka tetapkan. Betapa hebatnya perpaduan dan kerjasama yang diamalkan dalam organisasi ini,alangkah bagus jika semua Negara di dunia mengamalkan prinsip ini sesama mereka. Sekiranya hal ini berlaku, masalah negara berperang sesame sendiri dan kemiskinan di Negara dunia ketiga tidak akan wujud sama sekali.

Oleh itu, di manakah kita berada berdasarkan kepada contoh-contoh yang diberikan di atas? Suka saya bangkitkan penyataan berbentuk soalan kepada para pelajar bukan untuk suka-suka sahaja, tetapi untuk mengetuk kotak fikiran rakan-rakan seperjuangan UNITEN sekalian, Kenapa kita perlu membuat perkara seperti ini selalu? Jawapannya mudah, iaitu untuk menajamkan akal kita selalu. Ibarat parang atau pisau, jika kita selalu menggunakannya lama kelamaan ia akan tumpul. Samalah juga keadaannya bagi akal,jika tidak disedar dan diasah maka makin tumpullah akal kita. Berbalik kepada persoalan tadi, di peringkat mana kita berada sekalipun adalah tidak penting. Yang mesti diutamakan ialah kesedaran yang lahir dari dalam hati kita sendiri. Kesedaran akan lahir dalam hati sekiranya proses muhasabah diri sentiasa dilakukan pada setiap hari. Dengan kesedaran inilah kita sentiasa bangkit untuk membaiki segala kekurangan diri dan seterusnya meningkatkan keupayaan berfikir mengikut landasan yang betul,iaitu bersumberkan Al-Quran dan akhlak Nabi Muhammad.

Kesimpulannya, setiap pelajar mestilah belajar untuk menerima kehadiran orang yang berbeza pendapat dengan hati terbuka tanpa sebarang prejudis. Jangan membuat penilaian yang melulu sahaja terhadap sesorang. Disamping itu, para pelajar juga mestilah sentiasa bermuhasabah diri untuk meningkatkan kualiti diri melalui cara berfikir sebenar mengikut acuan Al-Quran, Rasulullah dan para sahabatnya. Inilah sumber utama umat Islam untuk meningkatkan keupayaan berfikir seterusnya membina kecemerlangan umat Islam dalam pelbagai bidang yang wujud dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Tahniah MPP!

. Saturday, March 1, 2008
2 comments

Tahniah dan terima kasih! Itu kata-kata yang boleh menggambarkan usaha Majlis Perwakilan Pelajar kita kini.Jika sebelum ini kita asyik terdengar akan kritikan,baik secara membina atau membinasa,akhirnya,kini tiba masanya untuk pujian pula menjelma buat organisasi yang penuh dengan percikan kontroversi.Sememangnya,penulis tidak dapat gambarkan penat keringat mereka dalam menegakkan hak pelajar walaupun sering tidak mendapat sokongan.Malah,cemuhan jua yang tiba walaupun sesuatu yang baik cuba diperjuangkan mereka.

Dahulu,tatkala mereka baru bertatih untuk mengenal erti perjuangan,kita pandang serong dek kerana sejarah lampau yang meninggalkan kesan negatif terhadap organisasi ini.Tetapi itu dahulu.Kini,mereka sudah mampu berjalan,kita juga perlu memandang ke depan.Dengan adanya sistem penyampaian maklumat yang lebih berkesan menerusi medium interaktif mereka yang tersendiri ditambah dengan kesanggupan mereka untuk turun padang mendengar rintihan serta masalah pelajar,penulis katakan,MPP kini sudah berubah.

Baru-baru ini juga,mereka ini telah melakukan petisyen untuk mendapatkan sokongan pelajar demi kemudahan pelajar sendiri.Besar kemungkinan,usaha yang dijalankan mereka ini bakal memberi satu kejayaan buat perjuangan mereka yang baru sahaja bermula.Maka,jikalau mereka(MPP) sudah berubah,mengapa tidak kita.Memang penulis akui,penulis memuji tinggi melangit walaupun kejayaan mereka mereka baru sahaja bermula.Namun demikian,ini yang patut mereka terima.Jikalau kritikan boleh diberi sedalam bumi sekiranya ada kesalahan,mengapa tidak kita memberikan sedikit inisiatif dan penghargaan kepada mereka sekiranya kejayaan yang mereka berikan.

Semoga,perjuangan mereka ini tidak akan terhenti disitu sahaja.Penulis juga sudah mendengar khabar berita daripada pihak MPP sendiri bahawa terdapat lebih banyak program serta aktiviti yang akan dilaksanakan dalam semester depan.Kini,penulis sendiri memohon maaf sekiranya kritikan yang penulis pernah berikan kepada MPP,tetapi penulis percaya,dengan kritikan-kritikan ini,anda akan semakin kental dalam perjuangan menegakkan hak pelajar.Semoga pelajar dan MPP akan semakin erat selepas ini.Insya'allah.

Tulus ikhlas,
MKF