Pertamanya, penulis harap dijauhkan segala sentimen politik mahupun pemikiran politikus negara.Sebaliknya penulisan kali ini sekadar berniat untuk menimbulkan buah fikiran kita bersama.Apabila dikatakan politik, satu-satunya medium 'halal' bagi pelajar adalah politik kampus.Perkara ini khususnya boleh terus difokuskan kepada pilihanraya kampus.
Mungkin dalam masa terdekat, barisan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) dibawah pimpinan saudara Naufal akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihanraya kampus Uniten.Maka, seterusnya pemilihan calon baru akan diadakan menerusi sistem demokrasi sedia ada.Mengikut kepada analisa penulis, rantaian pola yang berlaku di Uniten sedikit unik kerana pilihan raya kampus(PRK) diadakan dua tahun sekali.Maksudnya, andai tahun lepas tidak cukup calon untuk diadakan PRK, tahun ini mungkin ada memandangkan rentak sebelum ini yang seakan menjadi adat buat pelajar Uniten.
Risau tidak dapat menjalankan tugas dengan baik, tanggungjawab begitu berat, fokus kepada akademik adalah antara alasan klise yang diluahkan bagi mereka yang keberatan untuk bertanding.Malahan, ditambah dengan 'harga' yang terpaksa dibayar dari aspek masa dan wang ringgit juga diketengahkan.Memang benar, kesukaran untuk mendapatkan seorang pemimpin yang berkaliber tidak dapat dinafikan. Ada kala kelihatan baik, namun rupanya 'musang berbulu ayam'.Disangka berkarisma,rupanya 'mudah ditusuk dibelakang'.
Sememangnya kita sedang ketandusan pemimpin berbakat.Kita tidak memerlukan pemimpin yang pandai berpidato waimah yang bijak berbalah dan bermubahalah,sebaliknya di Uniten ini kita sebenarnya memerlukan pemimpin yang berjiwa pelajar.Anjakan paradigma perlu dilakukan.Sekalipun yang 'menyuap' itu HEP, tapi tidak bermakna MPP perlu menuruti dan bertukar menjadi boneka.Tidak bermakna seorang profesor bijak pandai yang menyuruh bertanding, kita perlu berubah menjadi alat untuk mereka.
Akhirnya, penulis minta agar bangkit pelajar Uniten untuk menyahut seruan perubahan.Biarpun dihimpit dan kian tersepit, tetapi yang penting adalah anda seorang pejuang.Usai satu perjuangan, jasa anda tidak akan dilupakan baik kemenangan yang dikecapi atau kekalahan yang menimpa.Sebaliknya, perjuangan itu akan direkayasa oleh segenap pelajar Uniten dari generasi ke generasi seperti mana Saudara Fairuz, mantan presiden MPP yang terdahulu.Bertemu lagi selepas ini.Salam kemerdekaan.
MKF
0 comments:
Post a Comment