Mahasiswa Sambut Baik Perlantikan Prof. Dr. Sheikh Ghazali
(Oleh Najwan Halimi)
Petang tadi saya bersama beberapa orang teman memaksakan diri untuk turut serta menghadiri sesi perjumpaan bersama Timbalan Naib Canselor (HEP, Alumni & Pengurusan) Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang baru dilantik, Profesor Dr. Sheikh Ghazali Abod.
Di dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang kurangnya kesedaran di kalangan mahasiswa dalam memberikan perhatian terhadap isu-isu semasa yang bersifat nasional. Beliau turut mengkritik sikap kebanyakan mahasiswa yang hanya belajar tanpa mengambil inisiatif untuk melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan sosial seperti berpersatuan dan aktiviti-aktiviti kepimpinan.
Seorang teman yang duduk disebelah mengomel dengan menyalahkan AUKU sebagai punca mahasiswa lesu. Kata teman itu, bagaimana kita ingin melihat mahasiswa celik dan punya kesedaran tentang isu semasa jika masih lagi dikongkong oleh akta seperti AUKU. Mungkin benar hujahnya dan saya juga ikut bersetuju, tapi sejauhmanakah mahasiswa kita berani mendepani isu sebegini jika disebut saja "AUKU" pun kebanyakan dari mereka hanya mampu mengangkat bahu?
Di pertengahan ucapan beliau, Dr. Sheikh Ghazali mula menukar nada dengan memperjelaskan peri pentingnya mahasiswa melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan kampus. Beliau akhir sekali menjemput mahasiswa agar menawarkan diri untuk menjadi calon pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang kelihatan dingin sekali sambutannya baru-baru ini. Turut diumumkan ialah perlanjutan tempoh penamaan calon demi memastikan kuota penyertaan mencukupi dan pilihanraya boleh dilangsungkan.
Jelas, mahasiswa Uniten barangkali sudah fobia untuk menyertai MPP lebih-lebih lagi jika meneliti rekod pencapaian barisan pimpinan sesi lepas yang penuh kecelaruan. Ada suara-suara yang menganggap barisan perwakilan pelajar sesi lalu adalah yang paling kurang berkualiti dan paling tidak produktif. Hatta, kenaikan yuran penginapan sekalipun mereka tidak dimaklumkan oleh pihak pengurusan!
Apa pun, saya mengalu-alukan majlis pertemuan petang tadi. Di samping menyampaikan amanah dan harapan beliau kepada para mahasiswa, Dr. Sheikh Ghazali turut meluangkan masa untuk mendengar keluhan dan luahan rasa mahasiswa berhubung dengan isu-isu kebajikan dan akademik.
Di akhir majlis, beliau turut memberi jaminan akan cuba melakukan sebaik dan sedaya mungkin dalam memastikan kebajikan dan keselesaan mahasiswa sentiasa terjamin selama belajar di Uniten.
Saya salut sikap rendah diri beliau. Menurut resmi padi; makin berisi makin tunduk. Dan ini nyata berbeza dengan sikap segelintir kakitangan universiti yang adakalanya angkuh dan sombong dengan jawatan yang dipegang. Ada antaranya hanya berjawatan penyelia kolej kediaman tetapi lagaknya mengalahkan seorang Naib Canselor! Seolah-olah kolej kediaman itu dia yang punya.
Sekali lagi, saya mengalu-alukan perlantikan Prof. Dr. Sheikh Ghazali sebagai Timbalan Naib Canselor (HEP, Alumni & Pengurusan) Uniten yang baru ini. Semoga segala perancangan dan perencanaan beliau dalam menambahbaik sistem dan penyampaian dalam urusan kebajikan mahasiswa mendapat sokongan dari seluruh warga Uniten.
Selamat bertugas, Prof!
3 comments:
- upin dan ipin -
saya turut juga berkesempatan untuk menghadiri sesi perjumpaan bersama TNCP petang jumaat. saya amat bersetuju dengan kenyataan yang d keluarkan oleh saudara najwan halimi itu...
saya juga menyokong kenyataan prof yang menyentuh mengenai kurangnya aktiviti sosial d kalangan mahasiswa masa kini terutamanya mahasiswa uniten... pada pendapat saya... kebanyakan student hanya mengejarkan pointer... bukannya mengejar ilmu... dalam islam, kita hendaklah menuntut ilmu selagi nyawa d kandung badan...
saya juga beranggapan bahawa pelantikan tncp yang baru ini akan membawa sinar yang baru kepada kebajikan student dan pada masa yang sama dapat mencorakkan pembentukan barisan pemimpin MPP uniten yang berwibawa...
di harapkan agar dengan ape amanat yang d sampai kan oleh tncp itu tadi akan membuka hati anda unutk menawarkan diri menjadi calon mpp. saya harap barisan mpp pada tahun ini akan menjadi yang terbaik dan membuat perubahan yang mendadak terhadap kebajikan para pelajar uniten...
akhir kata dari upin dan ipin ....
selamat datang prof dan gud luck!
erm....alhamdulillah....nampaknya sinar perubahan masih ada di uniten....
diharapkan janji-janji hasil pertemuaan dengan TNCP yang baru dilantik ini dapat ditunaikan..
diharapkan juga pihak pengurusan akan lebih "transparent" dalam setiap info terkini dan disalurkan kepada para pelajar...menyentuh tentang aktiviti sosial di uniten...kalau kita lihat..uniten tidak sunyi daripada aktiviti....namun berapa kerat la dikalangan pelajar yang ingin menyertainya??
rata-rata peserta setiap program adalah ahli aktif setiap kelab dan persatuan....kebanyakkan kita lebih gemar balik ke rumah setiap hujung minggu....then bila orang tanya kenapa taknak join aktiviti..deorang kasi alasan nak bersama dengan keluarga....tiada salahnya hendak bersama dengan keluarga....tapi mereka juga telah melepaskan peluang untuk mempelajari sesuatu yang tidak sama sekali dapat diperlajari di dalam kelas....diharapkan juga hari-hari minggu uniten bertambah meriah dengan aktiviti yang disertai oleh para pelajar...
saya juga mengalu-alu prof sebagai TNCP..
-hantugaz-
Kampus medan terbaik debat politik
Oleh: Datuk Saifuddin Abdullah
___________________________________
Isnin lalu, Universiti Columbia di New York mengundang Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berceramah kepada sekumpulan pelajar dan pensyarahnya. Seperti dijangka, pelbagai pihak di Amerika Syarikat (AS) yang terpengaruh atau bersekongkol dengan Presiden Bush atau mempunyai kepentingan politik tertentu dan menuduh Ahmadinejad dengan perkara yang bukan-bukan mengecam penganjuran ceramah itu, malahan mendesak supaya ia dibatalkan.
Tetapi, ceramah itu tetap diadakan. Tidak mengapalah jika Presiden universiti itu, Lee Bollinger, memberikan ucapan pengenalan yang tidak sopan, manakala ucapan Ahmadinejad pula tidak sebaik yang disampaikannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada keesokan harinya.
Yang pentingnya ialah universiti itu berpegang teguh dengan kebebasan akademiknya dalam menganjurkan ceramah membabitkan pemimpin politik yang berhaluan bertentangan dan tidak tunduk kepada tekanan politik dari luar, manakala Ahmadinejad membuktikan keberaniannya berhadapan dengan mahasiswa, apalagi dalam keadaan yang diketahuinya akan menjadi panas baginya.
Peristiwa ini signifikan kerana kini ada sesetengah universiti kita takut mengundang dan membenarkan pemimpin pembangkang berucap di dalam kampus. Hanya sesekali ada universiti yang berani. Contohnya, pada Ogos 2003, Universiti Utara Malaysia (UUM) membenarkan sebuah forum mengenai pengurusan negara diadakan membabitkan pemimpin Pas, Datuk Husam Musa (ketika itu Ahli Parlimen Kubang Kerian) bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Nazri Aziz (ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan).
Di samping itu, tidak ramai pemimpin kerajaan berani berhadapan dengan mahasiswa. Sering kali mereka menolak undangan ataupun sekadar menghantar wakil.
Pada satu masa dulu, kampus adalah pentas perdebatan politik yang sihat membabitkan pemimpin kerajaan dan pembangkang. Contohnya ialah Debat Agung Ekonomi Universiti Malaya. Ia dianjurkan dan ahli panelnya dipilih mahasiswa.
Kini, debat politik sedemikian amat jarang diadakan. Yang ada ialah forum membabitkan ahli panel yang sealiran saja. Lebih malang lagi, jika dulu, yang mempengerusikan debat politik itu ialah mahasiswa, tetapi hari ini, ia diambil alih oleh pensyarah. Mahasiswa hanya menjadi penonton kerana universiti menganggap mereka budak sekolah menengah tinggi saja.
Alasan untuk tidak membenarkan pemimpin pembangkang berucap di kampus ialah bimbang mahasiswa akan terpengaruh. Persoalannya, adakah mahasiswa semudah itu untuk dipengaruhi? Kalau begitu, jangan benarkan pemimpin pembangkang itu berucap seorang. Sebaliknya, adakan dalam bentuk debat. Undanglah pemimpin kerajaan untuk berdebat dengannya.
Kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas mengenai politik. Kita jangan takut dengan bayang-bayang sehingga semua yang berkaitan dengan politik dianggap kotor dan semua yang berkaitan dengan pembangkang dianggap berbahaya.
Memang ada perbezaan antara politik dengan parti politik, antara isu politik dengan isu parti politik, antara politik kepartian dengan politik non-kepartian dan antara politik partisan dengan politik non-partisan. Ini hanyalah sebahagian daripada ilmu politik.
Ilmu politik adalah sebahagian daripada disiplin yang perlu didedahkan kepada mahasiswa. Ia memerlukan pendidikan politik.
Di sinilah relevannya debat politik itu. Adakah dinginnya kampus disebabkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), khususnya pindaannya pada 1975?
Tahun dari 1965 (atau menurut sesetengah pendapat, dari 1966 atau 1967) hingga 1974 dianggap sebagai zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara ini.
Pada 1965 dianggap tahun bermulanya zaman itu berikutan transformasi peranan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang tidak lagi terbatas dalam bidang bahasa dan kesusasteraan saja, tetapi mula mencakupi perjuangan lebih luas hingga mencakupi bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.
Program bersama masyarakat, seperti ceramah, forum dan diskusi mula dianjurkan. Mahasiswa mula berkecimpung dengan masalah penderitaan penoreh, petani dan nelayan. Kemiskinan mula menjadi isu utama yang diperjuangkan mahasiswa. PBMUM juga menentang konsep Malaysian Malaysia yang dikemukakan Lee Kuan Yew.
Pada 1966 pula diambil berasaskan fungsi Sudut Pidato (Speaker's Corner) yang ditubuhkan pada 27 Mei tahun itu. Ia penting kerana hampir semua demonstrasi selepas tarikh itu bermula dari situ. Sudut Pidato itu diberikan jolokan sebagai Hyde Park Malaysia.
Di sanalah mahasiswa mengadakan dialog dan perbahasan mengenai pelbagai isu mengenai mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara dengan bebas. Pada Disember 1967, Kelab Sosialis ditubuhkan, iaitu pertubuhan politik pertama di kampus.
Ini menandakan bermulanya, untuk beberapa tahun, penguasaan mahasiswa beraliran sosialis di UM, misalnya, Syed Hamid Ali menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Sanusi Osman menjadi Presiden PBMUM pada tahun berkenaan dan kemudian diikuti pula oleh Hishamuddin Rais.
Jika ada perbezaan mengenai tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, pendapatnya adalah sama, iaitu 1974.
Pada 1974 digunakan kerana selepas peristiwa demonstrasi Baling pada Disember tahun itu, iaitu demonstrasi terbesar dalam sejarah gerakan mahasiswa negara ini, pada 1975, pindaan dibuat terhadap AUKU dengan tujuan mengongkong gerakan mahasiswa. Selepas pindaan itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang be sar iaitu gerakan mahasiswa mula lembap.
Pendapat yang menyatakan bahawa tempoh dari 1965 hingga 1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara melihatnya dari segi tindakan mahasiswa yang bercorak politik.
Mohammed Abu Bakar (1973) dalam bukunya Mahasiswa Menggugat menulis, tindakan ini termasuklah: seminar dan diskusi mengenai pelbagai isu di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh politik dan pensyarah; resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan mahasiswa untuk tatapan umum dan kerajaan; penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka; demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka; dan sesetengah mahasiswa memegang jawatan dalam parti politik seperti Parti Rakyat.
Kita tidak perlu kembali sepenuhnya ke zaman sebelum AUKU. Apa yang perlu ialah kita muhasabah kefahaman dan pemikiran mahasiswa hari ini mengenai politik.
Dalam konteks ini, petunjuk terpenting ialah pilihan raya kampus. Mutakhir ini, ada begitu banyak kerusi yang dimenangi tanpa bertanding, malahan ada beberapa universiti yang semua kerusi dimenangi tanpa bertanding.
Adakah menang tanpa bertanding begini sesuatu yang baik? Adakah tindakan sesetengah pemimpin universiti yang boleh dipersoalkan dari segi keadilan dan kesaksamaannya dalam pelaksanaan pilihan raya kampus sesuatu yang baik?
Adakah perlumbaan dan keseronokan sesetengah pemimpin universiti mengumumkan kemenangan besar calon yang dikatakan prokerajaan sesuatu yang baik? Adakah semua ini berlaku akibat universiti dipengaruhi atau ditekan oleh pihak lain? Adakah keadaan begini kondusif untuk kita melahirkan universiti bertaraf dunia?
Post a Comment